Wednesday, August 6, 2008

Wan Norazlin Digannggu Ah Long

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Setelah hampir sebulan diganggu ah long, pelakon Wan Nor Azlin Wan Mohd. Husain, yang hilang punca berikutan suaminya dikatakan gagal melangsaikan hutang dengan ceti, kini terpaksa merujuk masalahnya kepada Biro Pengaduan MCA.

Jumaat lalu, beliau membuat laporan kepada biro itu yang banyak mengendalikan kes-kes sedemikian. Hari ini, Wan Nor Azlin, 39, mengadakan sidang akhbar mendedahkan masalah itu di ibu pejabat MCA di sini.

Suaminya, Mohd. Yazli Yaacob, 38, yang menghilangkan diri sejak 10 Julai lalu dipercayai telah berhutang dengan sekurang-kurangnya 30 ah long sehingga pinjamannya mencecah kira-kira RM200,000.

Ketua Biro Pengaduan MCA, Datuk Michael Chong berkata, pihaknya berjanji menolong Wan Nor Azlin tetapi ia hanya dapat membantu jika pinjaman tersebut dibuat menerusi pemberi pinjaman berlesen.

Berdasarkan senarai nama ah long yang diberi oleh Wan Nor Azlin, beliau percaya mereka pemberi pinjaman berlesen.

“Kalau berlesen, saya boleh bantu berunding memanjangkan tempoh pinjaman manakala jika tidak berlesen, sukar untuk kita buat sesuatu kerana mereka tidak terima penjelasan,” katanya pada sidang akhbar itu.

Dalam pada itu, Michael turut memberi amaran kepada ah long supaya berhenti bertindak keterlaluan.

Merujuk kepada sekeping poster ugutan ah long kepada pemiutang yang tertulis ‘Jika Awak Tak Bagi Wang Awak Ialah Babi’, beliau mengutuk tindakan ah long yang mengeluarkan ugutan bersifat perkauman dan tidak sensitif.

“Anda semua (ah long) jangan melampaui batas. Amaran saya jelas, sasaran anda ialah pemiutang dan jangan susahkan isteri (Wan Nor Azlin) dan anak-anaknya,” tegas beliau.

Sementara itu, Wan Nor Azlin yang turut hadir pada sidang akhbar itu di Wisma MCA di sini sekali lagi merayu suaminya, Mohd. Yazli, agar pulang menyelesaikan masalah yang dihadapi dan bukannya menghilangkan diri.

Mohd. Yazli ialah seorang peguam.

Kata Wan Nor Azlin, adalah tidak adil untuk beliau dan anak-anak yang berusia empat hingga lapan tahun dibiarkan menderita akibat daripada perbuatan suaminya.

“Kepada suami saya, pulanglah segera, anak-anak merindumu. Kepada ah long, saya rayu jangan ganggu saya dan anak-anak,” katanya yang ditemani Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez.

Akhbar-akhbar sebelum ini melaporkan, Wan Nor Azlin terkejut apabila mendapati rumah dan keretanya disimbah cat merah dalam kejadian pada 30 Julai lalu.

Berikutan itu, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada keesokan harinya.

Kehidupan pelakon itu dan anak-anaknya mula tidak tenteram kerana sering dikunjungi ah long sejak pertengahan bulan lalu.

Wan Nor Azlin pernah memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Sri Angkasa 2001 menerusi drama Takbir Untuk Abdah.

No comments: