Tuesday, November 4, 2008

Aku Malu Untuk Menegur Perkara Mungkar

Ramai orang mengatakan belum cukup ilmu apabila ditanyakan mengapa
tidak menegur orang yang berbuat salah. Tidak kurang juga yang mengatakan
diri sendiri belum baik, mengapa perlu menegur orang lain. Bahkan ada
juga yang mengatakan perlu apa menjaga tepi kain orang, tak perlu jadi
'busy body'. Adakah kita semakin menjadi manusia yang individualistik?
Amat mementingkan diri sendiri? Dan banyak lagi alasan lain untuk tidak
menegur.Barangkali sifat merendah diri atau memikirkan kelemahan dan
kekurangan diri menjadikan kita tidak yakin dan akhirnya meninggalkan
usaha mengajak kebaikan.

Persepsi Diri Yang Salah

Ada di antara kita yang memandang zaman ini menegur orang biarlah
kepada mereka yang ber'authoriti'. Serahkan sahaja pada pak imam,
ustaz atau ustazah. Ada yang berpendapat untuk menegur orang lain
diri perlu menjadi maksum seperti nabi Muhammad s.a.w. Malu dengan
latar belakang keluarga yang tidak sempurna didikan agama.


Kewajipan Nasihat Menasihati Bukanlah Untuk Orang Tertentu


Sudilah memberi teguran yang baik dan berhikmah, kerana tanpanya manusia
akan selalu terbabas. Fitrah manusia yang selalu lupa dan terburu-buru,
seringkali diruntun oleh gelodak nafsu. Berbanggalah diri sebagai seorang
Islam, menjadikan kita ini sebahagian dari masyarakat yang membentuk manusia
dari dalam dan luaran. Jika berdiam sahaja melihat buasnya dunia meladeni
manusia, alamat kita sedang menuju kehancuran. Bukan sahaja melibatkan
perhubungan sesama manusia, bahkan menyebarkan barah kepada bidang
ekonomi, politik, pendidikan dan akhirnya diri sendiri. Terlalu mengharapkan
orang lain kadangkala hanya meninggalkan harapan sahaja. Allah memberitahu
di dalam al Quran yang bererti, hendaklah ada sebahagian dari golongan yang
menyeru kepada kebaikan dan melarang kepada kemungkaran. Mereka itulah
orang yang berjaya. (Surah Ali Imran : 104)

Golongan yang disebutkan menurut Dr Abdul Karim Zaidan di dalam bukunya
Usul Ad-Dakwah; adalah orang Islam itu sendiri. Kita adalah umat yang terbaik
yang lahir dari kelompok manusia wajib untuk mengajak kepada kebajikan dan
mencegah kemungkaran. Hukumnya sudah menjadi wajib pada masa kini
kerana golongan yang menegur itu semakin mengecil jumlahnya. Menasihati
bukan satu cara sahaja. Mereka yang rugi antaranya adalah yang tidak mahu
berpesan-pesan kepada perkara kesabaran dan kebenaran. Tidak perlu dengan
mengeluarkan hadith atau ayat al Quran yang kadangkala mad's
(orang yang ditegur/didakwah) pun tidak tercapai akalnya hendak menerima
kerana mereka sendiri jahil mengenainya.

Seorang muslim yang hebat mempunyai daya pemikiran yang kretif dan
mempunyai semangat yang tidak putus-putus untuk mengajak manusia
kepada kebaikan. Ada daya dengan tangan, maka penyampaian nasihat
melalui tulisan atau lukisan. Menyentuh hati kadangkala lebih berjaya
dengan diri kita yang menunjukkan kebaikan. Sentiasa bermanis muka,
tersenyum, tidak mudah marah, suka menolong dan tidak celupar ketika
menutur kata.

Allah melihat usaha kita


Pastinya, Allah tidak melihat kepada natijah kepada usaha kita. Maka,
marilah nasihat-menasihati sesama kita kerana tiada kerugian dalam
melaksanakan amar ma'ruf dan nahi munkar.

sumber :http://jarumemas.blogspot.com

No comments: