Tuesday, November 25, 2008

Siasatan 'pendapatan' angkasawan bermula esok

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Hrkh)-Siasatan terhadap dakwaan angkasawan pertama Malaysia Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha mengumpul dana berjumlah RM1.2 juta hasil bayaran siri ceramah yang mencecah RM8,000 sejam akan bermula Selasa ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Innovasi Fadillah Yusof dipetik sebagai berkata siasatan itu akan dikendalikan oleh sebuah jawatankuasa yang ditubuhkan selepas tarikh menerima semua laporan dan aduan daripada orang ramai berakhir esok.

"Kami menggesa orang ramai bukan sahaja tampil dengan surat aduan tetapi perlu menyokong aduan mereka dengan bukti kukuh seperti resit sebagai bukti pembayaran, invois dan semua dokumen atau surat berhubung acara yang dihadiri beliau (Dr Sheikh Muszaphar Shukor),"katanya yang dilaporkan oleh sebuah agensi berita.

Kegagalan untuk menyediakan bukti kukuh itu akan hanya menyebabkan kementerian tanpa pilihan menganggap aduan seumpamanya hanya sebagai dakwaan, katanya.

"Jika kami tidak lagi menerima banyak aduan, kami boleh menyiapkan siasatan ini dengan segera tetapi jika terdapat banyak aduan ia mungkin mengambil masa sedikit. Namun kami mensasarkan untuk menyiapkan siasatan pada awal Disember," katanya.

Fadillah berkata bidang siasatan itu, antara lain, akan menentukan sama ada angkasawan pertama negara itu mengenakan bayaran bagi penampilannya atau ceramah yang diberikannya serta mengemukakan cadangan tindakan yang wajar diambil kementerian.

Sebelum ini Harakah dan laman web Harakahdaily telah mendedahkan dakwaan bahawa Sheikh Muszaphar Shukor mengenakan bayaran RM8,000 untuk satu jam ceramah korporat selain 'mewajibkan' pihak-pihak sekolah membeli 300 buah buku 'Reaching the Stars' berharga RM20.00 setiap satu.

Harakahdaily juga pernah menerima aduan dan pengakuan beberapa sumber bahawa angkasawan tersebut mengenakan caj ceramah dengan kadar tertentu sedangkan beliau masih menjawat jawatan sebagai seorang pegawai kerajaan yang dilarang berbuat demikian.

Menjawab dakwaan itu, Dr Sheikh Muszaphar Shukor yang dipetik sebagai berkata menafikan mengenakan bayaran untuk ceramah yang diberikannya, sebaliknya hanya menerima sumbangan.

Sebelum ini, Menteri Kementerian terbabit, Dato' Dr. Maximus Ongkili dipetik sebagai berkata jika terbukti dakwaan itu benar, angkasawan terbabit akan dikenakan penalti jika melanggari kontrak dengan Mosti.

Mereka juga dilarang untuk menerima apa-apa ganjaran selain daripada ganjaran yang diberikan oleh kementerian, kata Maximus Ongkili.- _

No comments: