Wednesday, November 26, 2008

PAS dukacita usul kezaliman Zionis ditolak Parlimen

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Hrkh) - PAS amat dukacita apabila Parlimen Malaysia hari ini menolak untuk dibincangkan usul mengenai tindakan kejam regim Zionis Yahudi mengepung Semenanjung Gaza, Palestin.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata usul menentang kezaliman adalah isu sejagat yang disepakati oleh semua parti politik di Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama.

Katanya, PAS beserta rakan-rakan Pakatan Rakyat dari KeADILan dan DAP turut sama menyokong usul berkenaan walaupun ia dibawa oleh wakil Barisan Nasional.

Usul menangguhkan mesyuarat Parlimen dikemukakan oleh Dato' Dr Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat), tetapi ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato' Ronald Kiandee.

"PAS amat dukacita kerana usul ini ditolak, kita (PAS) pernah bersama (menyokong) dengan kerajaan dalam isu Bosnia, Palestin (sebelum ini) dan isu pengharaman nuklear.

"Ini adalah tanda keterbukaan kita, Pakatan Rakyat, dalam menghadapi isu kezaliman sejagat, kita bukannya hadir untuk membangkang semua perkara yang dibawa oleh BN," tegas Ustaz Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang.

Dalam reaksi terhadap isu yang sama, Ahli Parlimen Bachok, Ustaz Nasharudin Mat Isa berkata, pendirian PAS amat jelas, dalam membincang isu tindakan kejam rejim Zionis Yahudi mengepung Semenanjung Gaza yang diusulkan oleh Puad di Parlimen hari ini.

Katanya, dalam isu berkaitan dengan kepentingan bersama, PAS mengambil pendirian yang tidak mengenal erti sempadan atau parti politik bagi menyatakan pandangan terhadap isu berkenaan.

"Walaupun tadi isu itu dibawa oleh Batu Pahat yang kemudian disokong Seri Gading, saya juga menyatakan pandangan dengan meletakkan sebagai satu isu yang kita perjuangkan bersama," katanya kepada pemberita sebaik saja beliau keluar dari Dewan.

Malangnya, beliau berkata, usul itu ditolak oleh Timbalan Yang Dipertua dengan memaklumkan bahawa usul berkenaan tidak perlu disegerakan atas dasar Malaysia melalui Kementerian Luar telah mengeluarkan kenyataan akhbar pada 21 November lalu bagi mengutuk sekeras-kerasnya keganasan Zionis.

Menurutnya, Ahli Dewan mahu menunjukkan kepada dunia khasnya Israel bahawa Parlimen Malaysia mempunyai pendirian bersama dalam isu yang membabitkan rakyat Palestin tanpa mengira agama.

Sehubungan itu, Dewan Rakyat hari ini menolak usul yang dikemukakan Dr. Mohd Puad Zakarshi (BN-Batu Pahat) bagi menangguhkan sidang Parlimen agar membincangkan mengenai keganasan terbaru rejim Zionis di Gaza selepas terlucutnya perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Penolakan usul tersebut mengikut Peraturan Mesyuarat 18(2) kerana tidak perlu disegerakan.

Menurut Nasharudin, penolakan tersebut secara jelasnya memberi implikasi bahawa ahli-ahli Parlimmen tidak dapat menyatakan pandangan daripada parlimen walaupun mereka tidak menafikan kenyataan yang dibuat oleh Wisma Putra baru-baru ini.

Tambahan pula katanya ruang untuk membahas isu tersebut agak terbatas apabila hanya dibenarkan disentuh dalam sesi perbahasan bagi Kementerian Luar.

Sehubungan itu katanya PAS dan Pakatan Rakyat akan berusaha dengan cara lain untuk memastikan perkara itu dibahas di Parlimen termasuk mengadakan perbincangan dengan Kelab Penyokong Kerajaan.

Sementara itu, keputusan penolakan tersebut mendapat bantahan daripada Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dengan menyataka bahawa Parlimen Malaysia perlu membuat satu ketetapan dan pendirian terhadap tindakan kejam rejim Zionis itu.

Turut bangun meminta speaker mempertimbangkan semuala keputusan itu ialah Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim (KeADILan - Permatang Pauh, Salehuddin Ayub (PAS - Kubang kerian), Dato' Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) Tian Chua (KeADILan - Batu) dan Dato' Bung Mohktar Raden (BN- Kinabatangan). - mr_

No comments: