Thursday, November 20, 2008

Ekonomi negara di ambang ngeri, pemimpin leka rebut jawatan!

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Hrkh) - Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkifly Ahmad menyatakan bahawa negara kini sedang menyaksikan ekonomi dan kewangan di ambang satu krisis yang cukup ngeri. Iklan

Ujar beliau, keadaan keparahan ekonomi yang melanda negara ini lebih ngeri daripada krisis kewangan tahun 1998.

"Di sini PAS dan Pakatan Rakyat terpanggil untuk turut serta memainkan peranan mengatasi krisis ini, seperti Tun Dr Mahathir kata Najib tidak boleh mengatasi krisis ini tidak ada kemampuan.

"Jadi kita kena ada pengembelengan seluruh tenaga kita, kepakaran dalam Pakatan Rakyat dan BN atau akademik, pemikir, ekonomist, kena sekali menyelesaikan isu ini," kata beliau ketika diwawancara Harakahdaily baru-baru ini.

Kata ahli Parlimen Kuala Selangor itu, rakyat dan seluruh pihak di negara ini perlu mengetahui secara terbuka untuk kembali mempertikaikan stimulus ekonomi yang Najib bentang di Parlimen baru-baru ini.

"Dari mana datang wang RM 7 bilion itu, jumlah yang sepatutnya dan bagaimana nak dibelanjakan.Seterusnya berapa lama kita akan bertahan dalam keadaan begini?" soalnya.

Justeru ujar beliau, semua hal perlu dilakukan secara telus, jangan ada ketirisan, jangan ada penyelewengan dan semua mesti memikirkan bagaimana untuk mengatasi kemelut ekonomi yang melampau ini.

"Saya tak nafikan kali ini kita mendepani krisis ini kita belum benar-benar bersedia menghadapi hal ini," katanya.

Beliau menegaskan di sinilah letaknya kepimpinan yang membezakan kepimpinan yang bertanggungjawab atau sebaliknya.

Dikatakan bahawa dalam suasana krisis lah kepimpinan itu bakal terserlah dan teruji, kali ini memang menguji kepimpinan negara sama ada yang memimpin hari ini mahupun yang sentiasa menanti untuk ambil alih kerajaan, katanya.

"Saya lihat terus terang kesibukan dan tak nampak kesungguhan politik kepimpinan Umno-BN tangani krisis ini tetapi mereka lebih sibuk pastinya jawatan selesa dalam parti mereka yang memberi kelangsungan kepada survival politik mereka," katanya.

Dzulkifly mendakwa, pemimpin Umno-BN hari ini tidak segan silu mengamalkan rasuah untuk beli jawatan yang akhirnya meninggalkan impak negatif kepada rakyat yang melihat.

Sedang negara sedang hadapi krisis mereka ini bertarung dengan apa juga cara untuk menang, katanya.

"Inilah masa yang pentingnya kepada kepimpimpinan Pakatan Rakyat tampil dengan satu visi dan penyelesaian yang tuntas dan mantap bukan retorik sedia menyelamatkan krisis ekonomi negara yang bakal menjadi lebih parah," katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan kepada situasi yang sedang dialami rakyat hari ini dimana kadar perbelanjaan isi rumah dengan hutang-hutang yang ditanggung bakal memiskinkan rakyat lagi.

Walaupun bank-bank telah membuka kadar peratus pinjaman lebih rendah, tetapi situasi yang dilami rakyat dengan kadar pengangguran yang lebih tinggi dan nilai ringgit yang menurun bakal menjerumuskan rakyat kepada lembah ekonomi yang parah, katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar seluruh kepimpinan negara hari ini membuka ruang kepada seluruh pakar termasuk dari kalangan BN dan Pakatan Rakyat, pakar ekonomi dan ahli akademik berganding bahu duduk semeja membincangkan kaedah penyelesaiannya. - mks._

Resthour: Harap ada perubahan berlaku

No comments: