Tuesday, November 25, 2008

Lapan syarikat air minuman dibatal lesen, 31 digantung

PELABUHAN KLANG 25 Nov. — Sebanyak lapan syarikat pengeluar air minuman di beberapa negeri dibatalkan lesen pengeluaran mereka, manakala 31 syarikat lagi digantung lesen sehingga November ini selepas didapati melanggar pelbagai syarat-syarat lesen di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai berkata lapan syarikat adalah syarikat pengeluar air minuman berbungkus (AMB) manakala 31 syarikat itu terdiri 16 pengeluar AMB dan bakinya pengeluar air mineral semulajadi (AMS).

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kilang minuman Evergreen Manufacturing Sdn Bhd di Taman Perindustrian Pulau Indah dekat sini, hari ini, tiga syarikat AMB di Selangor dibatalkan lesen pengeluaran air minuman mereka.

Yang lain melibatkan dua syarikat di Pahang serta masing-masing satu di Negeri Sembilan, Johor dan Kelantan. Terdapat 156 syarikat pengeluar AMB dan 27 syarikat AMS beroperasi di negara ini. Liow berkata kementerian mendapati kebanyakan syarikat pengeluar AMB dan AMS tidak mengamalkan tahap keselamatan ataupun kebersihan premis yang ditetapkan.

Kementerian Kesihatan sehingga kini mengenalpasti 12 syarikat pengeluar air minuman tanpa lesen dan empat syarikat berlesen gagal mempamerkan nombor lesen pada label produk.

“Kertas siasatan sedang disediakan bagi syarikat-syarikat yang tidak berlesen ini. Selepas siasatan dilengkapkan, kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tujuan pendakwaan mengikut Peraturan 360B (1A), Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Liow yang juga Naib presiden MCA menasihatkan syarikat pengeluar air minuman tidak gagal mengemukakan keputusan analisa mikrobiologi kepada kementerian setiap tiga bulan.

“Peraturan mengemukakan keputusan analisa mikrobiologi ini wajib dilakukan oleh syarikat-syarikat air minuman dan kementerian akan mengambil tindakan tegas termasuk kemungkinan membatalkan lesen jika syarikat berkenaan enggan berbuat demikian,” katanya.

Sebanyak 16 syarikat masih menunggu kelulusan untuk mendapatkan lesen.

— BERNAMA

No comments: