Thursday, August 7, 2008

Majlis Peguam digesa batal Forum `Memeluk Islam'

KUALA LUMPUR 7 Ogos — Pergerakan Pemuda UMNO dan dua pertubuhan Islam hari ini membantah tindakan Majlis Peguam menganjurkan forum “Memeluk Islam” Sabtu ini kerana bimbang ia boleh menimbulkan kekeliruan mengenai Islam dan menjejaskan keharmonian masyarakat negara ini.

Exco Pemuda UMNO, Datuk Pirdaus Ismail berkata, forum tersebut boleh menimbulkan provokasi serta bakal mengundang keresahan dan ketidaktenteraman awam, khususnya orang Islam.

“Mengapakah Majlis Peguam sering bermain api perbalahan? Sebelum ini Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial yang mula membarakan api kemarahan orang Melayu dan mencetuskan keraguan lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr. Roslan Mohammad Nor pula mendakwa forum itu berniat mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan terutama peruntukan Artikel 121(1A).

“PUM berpandangan membahaskan hukum-hukum Islam, perundangan, sistem dan hak-hak orang-orang Islam yang terkandung dalam perlembagaan tanpa merujuk kepada pihak berkuasa dan bertanggungjawab pasti mengakibatkan kekeliruan dan salam faham terhadap Islam,” kata Roslan.

PUM seterusnya memberi amaran kepada Majlis Peguam agar menghentikan penganjuran forum berkenaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman berkata, Majlis Peguam tidak sepatutnya mentafsir undang-undang mengikut “kebijaksanaan sendiri”.

“Memanipulasi kemahiran dalam bidang perundangan untuk kepentingan peribadi seperti ini adalah seperti menjolok “sarang tebuan” dan mereka harus memahami hak-hak masyarakat Islam dan memelihara keharmonian negara,” katanya.- BERNAMA.

No comments: