Friday, July 11, 2008

Petronas syarikat ke-8 paling untung di dunia


Duduki tangga pertama di Asia senarai Fortune Global 500

PETRONAS berada di kedudukan kelapan senarai syarikat paling untung di dunia dan yang pertama di Asia tahun lalu dalam senarai Fortune Global 500 majalah perniagaan Fortune.

Syarikat petroleum kebangsaan berkenaan yang dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS) meraih keuntungan AS$18.118 bilion tahun lalu, mengatasi syarikat terkemuka dunia lain seperti Microsoft, Toyota, Bank of America, Total dan JP Morgan.



Senarai syarikat paling untung di dunia itu didahului oleh Exxon Mobile diikuti Royal Dutch Shell, General Electric, BP, Gazprom, HSBC Holdings dan Chevron.

Syarikat minyak Itali, Total dan bank pelaburan antarabangsa JP Morgan pula berada di tempat kesembilan dan ke-10.

Petronas juga berada di kedudukan ke-95 dalam senarai keseluruhan Fortune Global 500 berdasarkan pendapatan syarikat.

Di kalangan syarikat Asia, Petronas yang meraih pendapatan dalam nilai dolar AS AS$66.22 bilion tahun lalu berada di kedudukan ke-16.

Senarai 10 syarikat paling besar dunia tahun lalu didahului oleh Wal-mart Stores yang meraih pendapatan AS$378.799 bilion, diikuti oleh Exxon Mobile, Royal Dutch Shell, BP, Toyota Motor, Chevron, Ing Group, Total, General Motors dan Conoco Philips.

Senarai 10 syarikat paling besar di Asia pula dikuasai firma dari Jepun, China dan Korea didahului Toyota Motor (Jepun); Sinopec, State Grid dan China National Petroleum (China); Samsung Electronics (Korea Selatan); Honda Motor, Hitachi, Nissan Motor, Nippon Telegraph (Jepun) dan LG (Korea Selatan).

Sementara itu, syarikat automotif terbesar AS, General Motors, mendahului senarai mencatat kerugian paling besar, iaitu AS$$38.732 bilion.

No comments: