Intan Abdullah Tue | Jul 29, 08 | 5:04:53 pm MYT | |
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - PAS mendesak kerajaan Barisan Nasional (BN) menurunkan harga minyak di negara ini selari dengan penurunan harga minyak dunia. Dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily pagi tadi, Bendahari PAS, Dr Mohd Hatta Ramli meminta kerajaan agar bersikap lebih serius malah mengotakan janji mereka yang sebelum ini akan menurunkan harga minyak selari dengan perubahan harga minyak di peringkat antarabangsa. "Kerajaan perlu mengotakan janji mereka, kerana sebelum ini Dato' Shahrir Samad sendiri pernah berjanji akan menurunkan harga minyak berdasarkan harga minyak dunia," ujarnya. Mengulas perkembangan semasa,Dr Hatta berkata harga minyak di Singapura telah pun diturunkan beberapa kali dalam tahun ini namun, Malaysia yang berstatus negara pengeluar minyak atau negara Opec masih tidak mampu melaksanakannya. Beliau menempelak kerajaan Malaysia yang masih tidak menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka serius membela masalah dan kebajikan rakyat. "Ia merupakan suatu tamparan hebat kepada Malaysia kerana Singapura merupakan negara pengimport pun berusaha untuk menangani masalah rakyat mereka sedangkan kita sebagai negara pengeluar minyak tidak mempunyai apa-apa inisiatif bagi menjaga kepentingan rakyat," katanya. Menurutnya, apa yang terjadi mencerminkan sikap kerajaan yang tidak prihatin malah langsung tidak mempedulikan nasib dan penderitaan rakyat. "Kita lihat tiada inisiatif diambil pihak kerajaan dalam meringankan beban harga minyak dan inflasi tinggi yang ditanggung rakyat, tetapi masih berada di peringkat akan mengkaji harga minyak pasaran," katanya lagi. Pada masa yang sama, beliau berkeyakinan bahawa harga minyak negara ini berpotensi untuk kembali kepada harga asalnya selari dengan penurunan harga minyak dunia yang semakin giat berlaku. "Adalah tidak mustahil jika harga minyak kita boleh kembali seperti asalnya, sebab itu saranan Dato' Seri Anwar bahawa Pakatan Rakyat boleh menurunkan harga minyak sebaik memerintah. "Jika singapura boleh melakukannya, kita sepatutnya lebih mampu menurunkannya," tegasnya. Menurut laporan beberapa media di negara jiran tersebut, harga minyak petrol turun lagi semalam, sebanyak 10 sen setiap liter yakni penurunan terbesar sejak Ogos 2003 dan ia merupakan kali kelima harga minyak petrol turun dalam tempoh 20 hari. Semalam, langkah tersebut dimulakan oleh Shell, yang kemudian diikuti Caltex, Singapore Petroleum Company (SPC) dan Mobil. Dengan penurunan harga itu, harga minyak petrol sebelum ditolak diskaun di kedai minyak sekarang adalah $2.110 seliter bagi petrol oktana 98, $2.036 seliter bagi petrol oktana 95 dan $2.003 seliter bagi petrol oktana 92. Harga minyak petrol premium sebelum ditolak diskaun pula adalah $2.239 seliter bagi Shell V-Power dan $2.236 seliter bagi Caltex Platinum. Menurut para penganalisis, harga minyak petrol turun kebelakangan ini kerana kebimbangan tentang permintaan minyak semakin reda. Harga minyak mentah mencecah paras AS$100 setong pada awal tahun ini, sebelum meningkat ke beberapa paras rekod akibat kebimbangan mengenai permintaan minyak yang terus bertambah ekoran ketegangan antara Barat dengan Iran mengenai program nuklear Teheran. Ketidakstabilan di Nigeria, salah sebuah negara pengeluar minyak Afrika utama, turut menjadi faktor, kata para pemerhati. Berdasarkan laporan yang dikeluarkan Dowjones Newswires, harga minyak boleh jatuh ke paras AS$70 dan AS$80 setong jika dolar Amerika terus kukuh dan kebimbangan mengenai Iran berkurangan, kata ketua Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec), Chakib Khelil, Sabtu lalu. - mks. _ |
Tuesday, July 29, 2008
Harga minyak dunia turun, kerajaan didesak tunaikan janji - Dr Hatta
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment