Monday, September 15, 2008

Satu ujian Allah – Noraniza





Kak Ani berpisah dan ramai yang terkejut kerana perkahwinan ini terlalu singkat. Apa masalahnya?

Mungkin tak ada jodoh.









Kak Ani tak bahagia dengan perkahwinan ini?


Entahlah, tak tahu nak kata. Bahagia pun tak, tak bahagia pun tak. Tak tahu nak cakap macam mana sebab kahwin singkat sangat.

Selalunya kalau kita membuat keputusan untuk berumah tangga, tentu ia keputusan yang baik.







Tapi Kak Ani jadi sebaliknya. Kenapa?

Ingatkan saya nak buat macam orang dulu-dulu. Kahwin dulu, lepas tu barulah cari kebahagiaan. Orang kata kenal selepas kahwin. Tapi tak menjadi. Lagipun masa saya buat keputusan tu, saya tak betul-betul kenal siapa dia. Kenal sekejap terus nak kahwin.









Kenapa kahwin kalau tak kenal?

Masa itu saya banyak sangat masalah. Yalah, lepas berpisah dengan Fareez, memang saya betul-betul tertekan dengan keadaan sekeliling dan kehidupan diri saya. Bila kenal orang baru, saya kata kahwin sajalah. Ingatkan nak lari dari masalah tapi masalah yang saya hadapi tak selesai juga. Akhirnya saya terima keadaan ini sebagai ujian.









Macam mana Kak Ani buat keputusan untuk berpisah sedangkan usia perkahwinan masih baru?

Sebelum saya ambil jalan untuk berpisah, saya ada buat sembahyang hajat. Masa itu saya di Pulau Pinang. Saya minta Allah beri petunjuk masalah yang saya hadapi. Yalah, masa tu memang saya agak tertekan dengan rumah tangga saya itu. Saya minta pada Allah, kalau baik keputusan saya itu, tunjukkan.









Dapat petunjuk itu?

Alhamdulillah, tak lama selepas itu pada satu malam saya dapat petunjuk. Kira-kira pukul 9.15 malam saya lihat dengan mata saya sendiri. Rasanya tak perlulah saya cakap apa benda itu. Malam itu juga saya telefon abang kandung saya yang nombor dua. Saya rapat dengan dia. Saya minta pandangan dia. Dia minta saya balik ke Kuala Lumpur.

Selama ini kenapa Kak Ani tidak mahu menunjukkan lelaki itu?

Kita ini bermadu. Takkan kita nak tunjuk suami kita tu kepada orang pula.









Adakah Kak Ani malu dengan kejadian ini? Yalah, Kak Ani kecewa lagi dalam tempoh yang singkat pula tu?

Saya fikir pandangan orang. Apa orang nak kata bila tahu saya bercerai. Yang pertama gagal, kahwin kedua pun gagal juga. Satu hari itu anak saya, Aliff bagi pandangan. Dia kata buat apa mama nak diam. Beritahu orang sajalah yang mama dah bercerai. Nanti orang tak anggap macam-macam lagi. Akhirnya saya ikut nasihat dia. Lepas saya bagi tahu kisah saya itu, baru saya rasa lapang dada.









Banyakkah dugaan perkahwinan Kak Ani kali ini?

Susah nak cakap. Sebelum ini saya tak percaya benda-benda yang kita tak nampak. Tapi bila terkena pada diri sendiri, barulah saya tahu. Satu hari apabila saya sakit, saya terpaksa pergi berubat cara tradisional. Alhamdulillah, kian pulih. Saya rasa jalan terbaik berpisah untuk elak benda-benda tu.









Kak Ani menyesal bermadu?

Dulu tak fikir benda tu. Macam yang saya katalah. Nak lari dari masalah. Sebab tu kahwin. Tapi masalah ada juga.









Adakah Kak Ani rasa serik untuk berkahwin lagi selepas dua kali gagal dalam perkahwinan?


Serik? Saya tak boleh nak kata serik. Cuma buat masa ni saya tak nak fikir lagi nak kahwin atau tak? Saya nak buat bisnes dulu. Nak bagi anak-anak senang. Cuma saya boleh katakan dalaman saya semakin kuat selepas mengalami peristiwa kegagalan ini. Saya rasa lebih matang dalam rumah tangga.









Apa yang dapat Kak Ani rumuskan dengan kekecewaan ini.


Saya anggap apa yang berlaku adalah satu ujian Tuhan buat saya. Setiap apa yang kita buat, kita kena balik kepada Dia. Sekali fikir, bila jadi benda macam ni semangat makin kuat. Dulu saya tak boleh berdikari tapi syukurlah sekarang semakin kuat semangat.

No comments: