Azamin Amin
Suasana bilik berpintu besi itu sepi seketika. Masa melawat sudah tamat. Perjalanan sejauh 250 kilometer dari Simpang Durian, Negeri Sembilan ke Kem Kamunting Taiping, Perak dengan menaiki bas, dirasakan tidak berbaloi kepada kedua anak beranak ini. Bergerak subuh hari untuk bertemu yang dirindui dan dicintai namun masa membatas hanya sekadar sejam cuma.
Dari rumah, Fathur Rahman Al- Ghazi, 4 tahun sudah segak bergaya, tidak sabar untuk berjumpa ayahnya. Di tangannya beberapa helai kertas kosong dan sekotak pensil warna digenggam kemas. Nak ayah lukis, lepas itu abang warnakan, beritahu Fathur kepada ibunya.
Setelah tiba lima jam kemudian dan seronok mewarnakan lukisan ayah sambil membiarkan ibunya berberbual, kini semangat riangnya mula berkecai ketika ibunya menyapa lembut Fathur untuk pulang meninggalkan ayahnya.
Hidayu Kamrulzaman, 25 cuba memujuk si kecil Fathur agar melepaskan dakapan erat di tubuh sang ayah. Meronta-ronta, disusuli esak tangisnya lantas dibelai ayahnya semula dengan nada sayu:
"Nanti ayah balik ya. Ayah ada kerja..." kata ayahnya Muhammad Amir Mat Hanafiah sambil merungkai perlahan-lahan jemari halus anaknya itu yang mencengkam tidak mahu melepaskan pergi.
"Ayah kerja polis ya mak?," Andaian sang anak sambil memandang dua orang pengawal beruniform yang berada di sisi ayahnya. Masih tidak mengerti kenapa ayahnya berada di situ meninggalkannya setahun lamanya.
"Aaa..aa, ayah kerja polis. Tak dapat cuti lagi," jawab Hidayu sekali lagi dengan nada pilu menjelaskan semula peristiwa menghayat hati di Kem tersebut kepada kami, wakil Harakah yang singgah bertandang ke rumahnya baru-baru ini.
"Maaflah, saya terpaksa menipu ...dia sudah cerdik. Bayangkanlah bagaimana kalau dia tahu ayahnya ditangkap polis, apa yang nak saya katakan padanya nanti," terang Hidayu lagi kepada kami sambil memangku anak bongsunya Ubaidah Al-Harith, 1 manakala anak keduanya Uwais Al-Qarani, 3 rancak bermain dengan si abang, Fathur.
"Saya tak mampu nak bawa ketiga-tiga mereka. Saya bawa seorang sahaja, bergilir-gilir setiap kali pergi melawat. Tambahan pula naik bas dari sini," jelasnya sambil didatangi Fathur dan Uwais ke riba kami bertiga.
Mata sudah mula berkaca tatkala si abang memegang baju lengan baju ibunya lalu bersuara lembut kepada saya:"Bawa balik ayah ya?"
Manakala si adiknya Uwais memeluk erat pula rakan wartawan, Wan Nordin seolah-olah melepaskan kerinduan yang teramat sangat terhadap ayahnya. Mohd Khaleel, penyunting kami kelihatan cuba menahan sebak.
Ayah mereka ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sejurus selepas pulang solat isyak di masjid berdekatan kira-kira setahun lalu pada bulan April tahun 2007 atas tuduhan yang tidak dipastikan kesahihannya - dikatakan terlibat dengan kumpulan Jemaah Islamiyah, jelas Hidayu lagi.
Trauma dengan kejadian, tidak berapa lama kemudian, Hidayu berpindah rumah di Petaling Jaya ke teratak ayah bonda di Simpang Durian, Negeri Sembilan bersempadanan Pahang demi membesarkan ketiga-tiga anaknya yang masih kecil. Menampung kehidupan dengan mengajar kelas fardu Ain di sebelah petang dengan dibantu ayah yang menoreh getah.
"Abah, tengok gambar acik ni tangkap," kata Fathur kepada datuknya ketika Khaleel menunjukkan kamera digital kepadanya.
Ya, panggilan 'abah' tidak putus di bibir sang anak. Menghilangkan rasa rindu, datuknya juga dipanggil abah. Malah kehadiran kami selama sejam, dirasai cukup bermakna, kerana untuk seketika, ada teman sepermainan dan gurau senda mereka.
Hidayu yang cuba mengawal air matanya yang bergelinang menceritakan Fathur yang saban hari menyebut nama ayahnya malah lebih sayu melihat anak sulungnya itu terpinga-pinga tanpa jawapan pabila kawan-kawan tadikanya bertanyakan di mana ayahnya itu.
"Ini kali kedua mereka sambut Raya tanpa ayah...entahlah, bagaimana perasaan anak-anak saya melihat orang lain ada ayah sedangkan dia tidak..." kata Hidayu tersekat-sekat namun kuat semangat kerana disulami dengan kata perangsang suaminya:
" Insya-allah Allah akan gantikan masa di dunia ini dengan masa yang lebih baik di akhirat nanti." bisik suaminya ketika bertemu tempoh hari.
Hidayu hanya mampu berserah kepada ujian Tuhan dan bertahajud sebelah malam memupuk hati yang duka, lebih memilukan terpandang wajah tiga beranak yang direntap dan dahagakan kasih sayang seorang ayah.
Terasa berat untuk berpisah tatkala melihat keletah anaknya yang semakin mesra dengan kami namun perjalanan sejauh 180 kilometer dari Kuala Lumpur, bertujuan menyampaikan sumbangan simpati dan prihatin orang ramai kepada keluarga mangsa ISA bagi meringankan beban.
Nordin selaku ketua wartawan menghulurkan sumbangan sejumlah RM1,000 kepada Hidayu dan duit raya kepada anak-anaknya, sambil diperhatikan ayah bonda. Di pintu luar rumah, sekali lagi kami tertangkap kalimah Fathur yang menyentuh hati yang tidak mampu ditunaikan.
Di dalam kereta, tumpah jua air mata terkenang kata-katanya itu..."Acik, bawa ayah balik ya..."
Wednesday, October 8, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment