Firman Allah yang bermaksud:
“Dan tidaklah mereka diperintahkan kecuali supaya beribadah, iaitu menyembah Allah serta mengikhlaskan diri kepada-Nya dalam mengikuti agama yang hanif (suci) ini, mendirikan solat serta menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang lurus.” (Surah al-Baiyyinah, ayat 5)
Solat disyariatkan sebagai tanda bersyukur kepada Allah , menghilangkan dosa, menunjukkan kepatuhan, ketaatan dan rendah diri di hadapan Allah dengan menggunakan anggota badan untuk berbakti dan menghambakan diri kepada Allah .
Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Allah memfardukan lima waktu solat. Sesiapa yang memperelokkan wuduk dan solat tepat pada waktunya, menyempurnakan rukuk, sujud dan khusyuk, Allah berjanji kepadanya untuk mengampunkan dosanya. Sebaliknya, sesiapa yang tidak melakukan semua itu, Allah tidak berjanji untuknya. Jika Dia ingin mengampunkan dosanya, maka diampunkan. Begitu juga jika Dia ingin mengazabnya, Dia akan mengazabnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)
Tidak dinafikan, ada orang yang benar-benar khusyuk dan sempurna dalam solatnya. Namun, kebanyakan mereka kurang sempurna dan lalai. Tidak hairanlah setiap orang beriman akan mendapat ganjaran mengikut tahap kesempurnaan serta keikhlasannya ketika melakukan solat.
Allah menentukan bahawa solat adalah syarat penting untuk membuktikan seseorang itu beriman pada Allah . Solat juga mampu menghilangkan keresahan yang sentiasa menyelubungi manusia. Dengan solat, hati mereka menjadi tenang, gembira dan ceria.
Ujian pertama selepas melafazkan kalimah syahadah ialah solat. Allah cuba menguji manusia beriman dengan ujian pertama yang kebanyakan manusia gagal memenuhinya. Hukum kafir kepada sesiapa meninggalkan solat dengan sengaja dan menganggap tidak wajib. Ulama bersepakat bahawa darahnya halal untuk dibunuh.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perjanjian antara Muslim dengan kafir ialah solat. Sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya dia telah kafir.” (Hadis riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasaai dan Ibn Majah)
Solat adalah amalan pertama yang akan dihisab di hadapan Allah . Rasulullah SAW mewasiatkan seluruh umatnya supaya mendirikan solat. Itulah perkataan terakhir yang keluar daripada mulut Baginda sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Solat juga termasuk satu rukun terpenting dalam Islam. Ia membuktikan kedudukan agama Islam sama ada kukuh atau lemah. Jika sebahagian umat Islam tidak lagi menunaikan solat, ini bermakna sebahagian umat Islam tidak faham dengan kepemimpinan Islam.
Tidak mungkin mereka akan berjihad di atas satu kalimah syahadah sedangkan mereka tidak mengikut seorang imam dalam solat berjemaah. Meninggalkan solat, bererti menanggalkan keislaman dan keimanannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Mahukah aku beritahu kepadamu sesuatu perkara, tiang sesuatu perkara dan puncak sesuatu perkara. Aku berkata: Sudah tentu wahai Rasulullah. Sabda baginda: Kepala semua perkara adalah Islam. Tiangnya adalah solat dan puncaknya (apa yang meninggikan martabat Islam) ialah berjihad di jalan Allah .” (Hadis riwayat Ahmad, al-Tirmizi dan Ibn Majah)
No comments:
Post a Comment