PUTRAJAYA 22 Nov. – Amalan senaman yoga secara sistematik iaitu membabitkan gerakan fizikal, bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan bertentangan dengan syariat Islam.
Oleh itu Majlis Fatwa Kebangsaan hari ini mengharamkan umat Islam mengamalkan yoga secara sistematik itu kerana dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga tanpa unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.
Namun, katanya, ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.
‘‘Setelah meneliti dan mengkaji hujah-hujah serta pandangan, senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak Sebelum Masihi itu yang menggabungkan amalan fizikal, unsur keagamaan, mentera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya penyatuan diri dengan tuhan adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah.
‘‘Ahli muzakarah memutuskan apa juga jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga Setiausaha Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.
Keputusan mengenai fatwa yoga itu dilakukan pada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-83 di Kota Bharu, Kelantan pada 22 hingga 24 Oktober lalu.
Sebelum ini, seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.
Yoga amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar sejak 3,300 Sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.
Amalan senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.
Setakat ini, pengharaman senaman yoga telah dilaksanakan di Singapura dan Mesir.
Menurut Abdul Shukor, umat Islam dinasihatkan agar menjauhi amalan yoga meskipun sekadar mempraktikkan pelbagai variasi senaman fizikalnya kerana ia adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem senaman tersebut.
‘‘Kalau setakat kita duduk macam yoga itu tidak ada masalah, lagi pun ia ada beratus jenis pergerakan, tetapi masalahnya amalan senaman itu adalah sebahagian daripada keseluruhan sistem yoga.
‘‘Amalan fizikal itu hanya peringkat pertama, kita minta umat Islam berhati-hati, takut mereka tidak tahu ilmu yoga itu ke mana matlamat akhirnya dan ini mungkin boleh jadi membawa kepada kesesatan,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, ini kerana dalam Islam terdapat tiga elemen yang boleh menjejaskan akidah iaitu keyakinan hati, pengakuan dengan lidah dan perbuatan.
Katanya, memandangkan sekurang-kurangnya terdapat dua elemen tersebut dalam amalan yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka daripada terhakis.
Bagaimanapun, beliau menyatakan, fatwa tersebut tidak bermaksud untuk menghalang orang bukan Islam mengamalkan yoga kerana hak kebebasan mengamalkan kepercayaan agama mereka adalah dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
‘‘Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan hanya menjaga kepentingan dan akidah umat Islam dan pada peringkat ini, kita menggunakan pendekatan menasihat dan memaklumkan kepada umat Islam tentang pandangan Islam terhadap yoga.
‘‘Soal sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri dan dari segi penguatkuasaan, itu bukan bidang kita,'' katanya.
Sunday, November 23, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment