Thursday, June 26, 2008

Ucapan PM membentangkan usul Kajian Separuh Penggal RMK-9

26/06/2008 3:03pm


Ucapan penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) pada 26 Jun 2008, jam 11.30 pagi.

PEMBERITAHU USUL

Tuan Yang di-Pertua,

1. Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, saya dengan sukacitanya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul mengikut peruntukan Peraturan Mesyuarat 27(3) seperti berikut:

"Bahawa Dewan ini,

menyedari akan pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan dan pencapaian matlamat sosioekonomi yang baik semasa awal pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan meskipun ekonomi Malaysia terus berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan terutamanya kenaikan harga minyak petroleum mentah dunia;

merestui usaha Kerajaan bagi melaksanakan Misi Nasional untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju;

meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan yang bertujuan melaksanakan strategi dan program serta menyediakan peruntukan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang teguh dan bersatupadu seperti dibentang dalam Kertas Perintah C.M.D. 8 Tahun 2008;

Bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mendokong usaha untuk membina Malaysia sebagai sebuah negara yang makmur, progresif, adil, berdaya tahan dan berdaya saing."

2. Dengan izin Tuan Yang di-Pertua, saya membentang Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan untuk dibahas oleh Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini.

PENDAHULUAN

Tuan Yang di-Pertua,

3. Kira-kira dua tahun yang lalu, pada 31 Mac 2006, saya telah membentangkan Rancangan Malaysia Kesembilan sebagai wadah rancangan pembangunan lima tahun negara untuk tempoh 2006-2010. Rancangan tersebut menggariskan hala tuju pembangunan negara untuk tempoh lima tahun pertama dalam fasa kedua pelaksanaan Wawasan 2020. Alhamdulillah, berkat kesungguhan dan kegigihan segenap lapisan rakyat dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing, kita bukan sahaja berupaya mengekalkan kestabilan negara serta pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, malah dapat terus meningkatkan daya saing negara. Kejayaan ini jelas terserlah melalui pelbagai pencapaian yang telah berjaya kita perolehi dalam tempoh masa 2 tahun yang telah berlalu. Antara lainnya, kita telah berjaya:

Mengekalkan kadar pertumbuhan ekonomi negara pada kadar yang membanggakan, iaitu sebanyak 6.1 peratus setahun;

Menaiktaraf kualiti hidup rakyat melalui peningkatan pendapatan per kapita daripada RM18,840 pada tahun 2005 kepada RM23,066 pada tahun 2007;

Mengurus perbelanjaan Kerajaan secara berhemah, dengan pengurangan defisit fiskal negara daripada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2005 kepada 3.2 peratus pada tahun 2007;

Meneroka sumber pertumbuhan baru dan meningkatkan produktiviti pekerja;

Meningkatkan kualiti dan akses kepada sistem pendidikan negara melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara;

Mengurangkan kadar kemiskinan keseluruhan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007, manakala kemiskinan tegar pula menyusut daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada tahun 2007;

Mengurangkan jurang ekonomi antara kumpulan etnik, antara wilayah dan antara bandar dan luar bandar;

Melahirkan hampir 68,000 orang usahawan baru, di samping melatih seramai lebih daripada 120,000 orang usahawan melalui pelbagai program pembangunan usahawan;

Memastikan akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan, kemudahan perumahan, memperluas jaringan jalan raya ke kawasan luar bandar, menyediakan pengangkutan awam yang lebih baik dan meningkatkan keselamatan jalan raya; dan

Meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian sektor awam, termasuklah menggantikan Certificate of Fitness for Occupation (CFO) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan tempatan dengan Certificate of Completion and Compliance (CCC), serta mengurangkan kos menjalankan perniagaan melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH).

4. Jelaslah kepada kita bahawa pencapaian dalam tempoh masa pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan setakat ini bukan hanya terbatas kepada perancangan mahupun retorik semata-mata, tetapi terjelma dalam pencapaian yang hakiki.

5. Justeru itu, pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan pada hari ini amat penting bagi menjamin kesinambungan agenda pembangunan negara, apatah lagi dalam suasana ekonomi semasa yang amat mencabar. Sekiranya tidak ditangani secarawajar, kenaikan harga minyak dan komoditi yang mendadak, serta kemelut dalam pasaran kewangan sedunia yang masih berlanjutan, mampu menjejaskan usaha kita untuk mengekalkan kestabilan ekonomi dan mencapai pertumbuhan yang mapan.

11-38-50

6. Oleh itu, salah satu objektif utama bagi fasa kedua dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan adalah untuk mempastikan agar mutu hidup rakyat tetap terpelihara. Program-program peningkatan pendapatan serta jaringan keselamatan sosial akan terus dilaksana dan diperkasa.

7. Pada masa yang sama, Kajian Separuh Penggal ini juga tidak melupakan keperluan untuk terus meningkatkan kapasiti dan daya saing negara. Pembinaan infrastruktur, pembangunan modal insan, dan perkembangan sektor-sektor pertumbuhan baru akan terus dipacu, dengan mengambil kira keperluan jangka panjang pembangunan negara.

8. Bagi memastikan agar Malaysia mengekalkan momentum pertumbuhan yang positif, agenda pembangunan negara akan terus direncana berdasarkan lima Teras Utama Misi Nasional, iaitu:

Pertama: Meningkatkan nilai tambah dalam ekonomi negara;

Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan, kreativiti dan inovasi negara serta memupuk "minda kelas pertama";

Ketiga: Menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif;

Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan

Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan negara.


PERSPEKTIF EKONOMI MAKRO

Prestasi, 2006-2007

Tuan Yang di-Pertua,

9. Dalam tempoh 2006-2007, KDNK sebenar negara berkembang sebanyak 6.1 peratus setahun, melebihi sasaran 6.0 peratus. Pendapatan per kapita rakyat meningkat sebanyak 10.6 peratus setahun kepada RM23,066. Pendapatan per kapita berdasarkan pariti kuasa beli meningkat lebih tinggi sebanyak 14.2 peratus kepada AS$$13,529 pada tahun 2007. Pertumbuhan ini dicapai dalam suasana harga yang stabil. Kadar pengangguran pula berada pada tahap 3.3 peratus pada tahun 2007, mencerminkan paras guna tenaga yang penuh.

10. Perdagangan luar terus mencatatkan kemajuan, di mana jumlah dagangan negara kini mencapai tahap purata hampir RM100 bilion sebulan. Rizab luar bersih juga meningkat kepada RM335.7 bilion, cukup bagi membiayai keperluan import tertangguh negara selama 8.4bulan. Kemajuan ekonomi yang membanggakan ini tercapai dalam suasana Kerajaan terus mengamalkan dasar fiskal berhemat.


11. Pertumbuhan ekonomi negara yang pesat ini telah diterajui oleh sektor swasta, dengan pertumbuhan pelaburan swasta pada kadar 8.6 peratus setahun. Aliran masuk bersih pelaburan asing langsung (FDI) juga meningkat sebanyak 39.3 peratus setahun kepada RM29.1 bilion pada tahun 2007. Pelaburan awam turut meningkat sebanyak 8.9 peratus setahun berikutan pelaksanaan pesat projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan.

12. Sektor perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi, dengan peningkatan pada kadar 8.5 peratus setahun. Pertumbuhan ini diterajui oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan. Di samping itu, sumbangan sektor perkhidmatan diperkukuhkan lagi oleh perkembangan ketara dalam subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran, serta subsektor pengangkutan yang dibantu oleh kejayaan gemilang Program Tahun Melawat Malaysia 2007.

13. Sektor pembuatan mengalami pertumbuhan sederhana sebanyak 5.1 peratus setahun ekoran kelembapan permintaan global bagi keluaran elektronik serta permintaan dalam negeri yang rendah bagi kenderaan pengangkutan. Sektor pertanian pula mencatat pertumbuhan yang sederhana, iaitu pada kadar purata 3.8 peratus setahun. Ini berikutan bencana banjir yang berlaku pada akhir 2006 dan awal 2007, yang telah mempengaruhi prestasi dan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi negara. Walau bagaimanapun, sektor pembinaan telah kembali pulih dan diperkukuhkan lagi melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan.

Prospek, 2008-2010

Tuan Yang di-Pertua,

14. Bagi tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan, Kerajaan akan terus melaksanakan pengurusan ekonomi makro yang berhemah bagi memastikan asas ekonomi terus kukuh. Dengan jangkaan pertumbuhan ekonomi dunia yang sederhana, sebanyak 4.1 peratus setahun bagitempoh 2008-2010, ekonomi Malaysia dijangka mampu berkembang secara purata 6.0 peratus setahun.

15. Pertumbuhan ini dijangka akan disokong oleh permintaan dalam negeri dan luar negara, terutamanya permintaan yang masih kukuh di kalangan negara rantau Asia, khususnya negara China dan India. Permintaan swasta dijangka terus menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi, di mana pelaburan swasta dijangka berkembang sebanyak 10.6 peratus, dengan jumlah pelaburan pada harga semasa dianggar mencapai RM305.8 bilion bagi tempoh 2008-2010.

16. Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian dijangka terus menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi. Khususnya, sektor perkhidmatan dijangka mencatat perkembangan sebanyak 7.9 peratus setahun, yang diterajui oleh subsektor kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan. Sektor pembuatan pula dijangka mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan pada kadar 3.0 peratus setahun berikutan kelembapan permintaan global yang berterusan terhadap keluaran elektrik dan elektronik. Namun, industri pembuatan bagi pasaran domestik dijangka akan berkembang pesat, terutamanya industri berkaitan pembinaan. Sektor pertanian juga akan terus diberi penekanan, terutamanya subsektor tanaman makanan bagi menyokong Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara. Sektor ini dijangka berkembang pada kadar 4.1 peratus setahun. Sektor pembinaan pula dijangka terus mencatat pertumbuhan yang kukuh dengan kadar purata sebanyak 5.8 peratus setahun.

17. Kerajaan juga akan terus memberi tumpuan ke arah mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan. Sehubungan ini, langkah akan diambil untuk meluaskan asas hasil bagi meningkatkan pendapatan negara. Kualiti dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam akan dipertingkat, manakala bantuan kepada golongan miskin dan yang memerlukan akan diteruskan.

18. Melalui langkah-langkah pengukuhan kedudukan kewangan, Kerajaan menjangka akan dapat mengekalkan defisit fiskal pada tahap 3.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2010, sekaligus memastikan agar kewangan negara terus diurus secara berhemah dan fleksibel bagi menghadapi sebarang ketidaktentuan, termasuk risiko kemelesetan ekonomi di masa hadapan.

Tuan Yang di-Pertua,

TERAS 1: MENINGKATKAN NILAI DITAMBAH DALAM EKONOMI NEGARA

19. Teras pertama Misi Nasional, iaitu meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, merupakan pra-syarat untuk meningkatkan kedudukan ekonomi Malaysia ke arah kelas ekonomi berpendapatan tinggi. Tiga strategi utama yang perlu bagi mencapai tujuanini adalah:

Pertama: Meningkatkan produktiviti dan daya saing negara;

Kedua: Menjana sumber pertumbuhan baru; dan

Ketiga: Mengembangkan pasaran bagi barangan dan perkhidmatan Malaysia.

Meningkatkan Produktiviti dan Daya Saing

20. Kerajaan menyedari kepentingan daya inovasi dalam memacu pertumbuhan produktiviti dan daya saing negara. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan dana sewajarnya bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R& D), serta pengkomersilan teknologi. Dalam pada itu, kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam penyelidikan yang didorong pasaran akan terus dipertingkatkan.

21. Kerajaan juga berhasrat untuk menggalakkan lagi penglibatan sektor swasta dalam perkembangan sektor-sektor pertumbuhan baru. Ini termasuklah bidang kewangan Islam dan takaful, pembuatan berteknologi tinggi, pelancongan kesihatan, pengajian tinggi dan pertanian berskala besar.

22. Perkembangan bidang-bidang pertumbuhan baru tersebut perlu dipacu dengan penyediaan insentif bersesuaian, termasuklah kemudahan pinjaman. Antara lain, Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan lagi pertumbuhan industri modal teroka. Institusi kewangan pembangunan, firma ekuiti persendirian dan syarikat modal teroka akan digalakkan untuk menawar terma dan syarat yang lebih menarik, di samping memberi sokongan bina upaya kepada syarikat-syarikat yang menerima pelaburan.

23. Selain itu, rangka kerja perundangan yang berkesan adalah kritikal bagi mewujudkan persekitaran pasaran yang kondusif. Sehubungan itu, perundangan amalan perdagangan adil (Fair Trade Practices) akan diperkenalkan. Bagi meningkatkan perlindungan bagi harta intelek, lebih banyak mahkamah harta intelek akan ditubuhkan, manakala keupayaan pengamal harta intelek akan dipertingkatkan.

24. Infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi merupakan satu keperluan utama bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Sehubungan itu, peluasan infrastruktur jalur lebar akan dipertingkatkan menerusi kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi mencapai sasaran kadar penembusan jalur lebar setinggi 50 peratus isi rumah menjelang tahun 2010.

25. Pembangunan sektor tenaga yang mapan juga adalah perlu bagi memastikan bekalan tenaga yang terjamin dalam jangka panjang. Inisiatif kecekapan tenaga akan dipergiatkan bagi menggalakkan penggunaan tenaga yang produktif dan berhemat. Kerajaan juga akan mempergiatkan aktiviti R & D dalam bidang tenaga boleh diperbaharu (renewable energy) yang mesra alam dan menjimatkan kos, ke arah menjamin keselamatan tenaga (energy security).

Menjana Sumber Pertumbuhan Baru

26. Bagi meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi, bidang-bidang keutamaan telah dikenalpasti bagi memastikan perancangan yang bersepadu serta pelaksanaan yang tersusun.

27. Dalam sektor perkhidmatan, kerjasama sektor awam dan swasta akan dipergiatkan untuk mengambil peluang daripada peningkatan permintaan pasaran serantau terhadap pengajian tinggi, pelancongan kesihatan, dan lain-lain perkhidmatan. Pembangunan perkhidmatan kewangan Islam, khususnya takaful, akan terus digalakkan. Antara lain, inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) akan terus dipergiatkan bagi meletakkan Malaysia sebagai sebuah pusat kewangan Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.


28. Bagi memanfaatkan potensi bioteknologi sebagai sumber pertumbuhan baru dan penjana kekayaan, syarikat-syarikat bioteknologi akan diberi sokongan dan galakan. Aplikasi bioteknologi dalam pertanian, penjagaan kesihatan dan penggunaan industri akan diperluaskan melalui pemerolehan teknologi, penggalakan R & D dan pemakaian amalan makmal terbaik.

29. Manakala pembangunan sumber pertumbuhan baru dalam bidang pertanian akan turut digalakkan. Tumpuan akan diberikan kepada pelbagai bidang yang berpotensi tinggi, termasuklah penanaman kenaf, perikanan laut dalam, penternakan ikan hiasan (ornamental fish), dan lain-lain.

30. Pembangunan industri halal akan diterajui oleh Perbadanan Pembangunan Industri Halal dengan berpandukan Pelan Induk Pembangunan Industri Halal.

31. Untuk memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia dan ICT, penekanan akan diberikan kepada bidang-bidang berpotensi tinggi, termasuklah perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (shared services and outsourcing), pembangunan kandungan multimedia (multimedia content development) dan teknologi analisis ramalan (predictive analysis technology).

Mengembangkan Pasaran bagi Barangan dan Perkhidmatan Malaysia

32. Peluasan pasaran adalah perlu bagi meningkatkan daya saing negara. Sehubungan itu, barangan dan perkhidmatan Malaysia akan dipromosikan secara lebih intensif ke pasaran-pasaran baru, termasuklah di Afrika, Asia Barat dan Selatan, serta negara-negara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN. Misi perdagangan akan ditambah dan rangkaian pasaran baru akan diperkukuhkan lagi. Sistem maklumat pemasaran di pelbagai agensi seperti MATRADE, FAMA dan MDeC akan dinaiktaraf dan disepadukan bagi memudahkan usaha import dan eksport. Program membina imej Malaysia dan produk jenama Malaysia akan terus dipergiat.

33. Di samping itu, peraturan pengiktirafan bersama (mutual recognition arrangement), perjanjian perdagangan bebas dan peraturan pelbagai hala (multilateral arrangement) akan terus dirundingkan bagi memudahkan kemasukan barangan dan perkhidmatan Malaysia ke pasaran-pasaran baru. Pakatan strategik dan usaha sama dengan syarikat antarabangsa ternama akan dipertingkatkan bagi memperluaskan rangkaian pasaran bagi barangan dan perkhidmatan berasaskan pertanian, pembuatan dan ICT. Pensijilan halal Malaysia akan terus dipromosikan sebagai piawaian halal bertaraf global.

Tuan Yang di-Pertua,

TERAS 2: MENINGKATKAN KEUPAYAAN PENGETAHUAN DAN INOVASI NEGARA SERTA MEMUPUK "MINDA KELAS PERTAMA"

34. Dalam teras kedua Misi Nasional, usaha melahirkan modal insan berkualiti yang berpengetahuan, berinovasi dan memiliki nilai-nilai positif akan terus diberi keutamaan. Objektif ini akan dicapai melalui pelaksanaan lima strategi utama:

Pertama: Memperkukuh program pendidikan dan latihan;

Kedua: Menjadikan Sekolah Kebangsaan sebagai sekolah pilihan;

Ketiga: Membina institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa;

Keempat: Menggalakkan R & D dan meningkatkan daya inovasi; dan

Kelima: Memupuk nilai moral dan etika yang kukuh.

Memperkukuh Program Pendidikan dan Latihan

35. Pendidikan terus diberi penekanan utama dalam rancangan pembangunan Kerajaan. Antara lain, perhatian akan diberikan kepada pendidikan di kawasan luar bandar bagi mengurangkan jurang yang masih luas dalam pencapaian akademik antara pelajar sekolah luar bandar dengan bandar. Sehubungan itu, sebanyak RM13.5 bilion akan diperuntukkan bagi menaiktaraf infrastruktur sekolah, menyediakan kemudahan ICT serta menggalakkan lebih ramai guru berpengalaman berkhidmat di kawasan luar bandar. Perhatian khusus akan diberikan kepada sekolah-sekolah luar bandar di negeri Sabah dan Sarawak. Di samping itu, sekolah jenis kebangsaan aliran Cina dan Tamil akan terus dibantu dan dipertingkatkan.

36. Pendidikan pra-sekolah juga akan diberi perhatian. Untuk memastikan mutu pengajaran, Kerajaan akan menyeragamkan kurikulum pra-sekolah, agar semua murid akan dapat membaca dan mengira sebelum memulakan pendidikan formal di peringkat sekolah rendah.

37. Kerajaan akan turut memberi tumpuan bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi. Enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam akan bertambah apabila kampus tetap bagi tiga universiti baru iaitu Universiti Darul Iman Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia siap dibina. Di samping itu, pelaksanaan program francais UiTM akan meningkatkan enrolmen pelajar UiTM ke arah mencapai sasaran 200,000 pelajar menjelang tahun 2010.

38. Institusi teknikal dan vokasional pula akan terus diperkasa melalui pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan Kemahiran dan Latihan. Enrolmen pelajar dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan ditingkatkan menerusi penggunaan kapasiti sedia ada, pembiayaan pelajar di institusi latihan swasta, serta peruntukan tambahan kepada Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

39. Bagi membantu pelajar-pelajar tercicir, pembinaan pusat GiatMARA baru akan dipercepatkan, di mana 80 peratus pengambilan akan dikhaskan untuk kumpulan pelajar tercicir. Di samping itu, pelaksanaan Sistem Latihan Dual Nasional yang menekankan latihan praktikal di industri akan dibuka kepada kumpulan pelajar yang tercicir.

40. Bagi menggalakkan proses pembelajaran secara berterusan, penyertaan dalam program pembelajaran sepanjang hayat akan ditingkatkan dengan melaksanakan proses kemasukan yang lebih fleksibel serta mengambil kira pengalaman kerja. Bagi meningkatkan penyertaanindustri, pengecualian cukai akan diberi ke atas perbelanjaan yang dikeluarkan bagi melatih pekerja mereka di kolej komuniti pada peringkat diploma. Bantuan kewangan dalam bentuk elaun bulanan dan yuran pengajian juga akan dipertimbangkan bagi pelajar-pelajar di kolej komuniti.

Menjadikan Sekolah Kebangsaan Sebagai Sekolah Pilihan

41. Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan semua kaum, pelbagai usaha akan terus dilaksanakan bagi meningkatkan kualiti dan kemudahan pengajaran di sekolah-sekolah tersebut. Antara lain, pengajaran bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah-sekolah kebangsaan akan dipertingkatkan lagi. Pada masa kini, enrolmen murid Cina dan India di sekolah kebangsaan adalah 6 peratus dan 40 peratus masing-masing, dan peratusan ini dijangka meningkat dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan.

Membina Institusi Pengajian Tinggi Bertaraf Antarabangsa

42. Sebuah sistem penarafan akan dilaksanakan bagi tujuan menilai kualiti dan daya saing di kalangan institusi pengajian tinggi awam. Bagi meningkatkan pengiktirafan antarabangsa, lebih ramai pakar dari universiti luar negara, industri dan badan-badan profesional akan dilantik sebagai panel penilai program akademik yang ditawarkan di IPTA dan IPTS. Manakala sebuah Institut Penyelidikan Malaysia akan ditubuhkan bagi meningkatkan kerjasama dalam aktiviti penyelidikan dengan universiti-universiti terkemuka dunia.

Menggalakkan R & D Dan Meningkatkan Daya Inovasi

43. Sains dan teknologi adalah penting untuk pembangunan negara. Oleh itu, pelbagai langkah akan terus diambil bagi menambah baik infrastruktur dan system inovasi negara. Bagi meningkatkan bilangan penyelidik dan perekacipta pada masa hadapan, lebih banyak biasiswa akan disediakan bagi peringkat pengajian lepasan ijazah untuk mencapai sasaran 50 orang penyelidik dan jurutera bagi setiap 10,000 orang pekerja. Sektor swasta juga akan digalakkan untuk turut menyumbang melalui penyediaan biasiswa serta bantuan kewangan bagi R&D dan pengkomersilan teknologi.


Memupuk Nilai Moral dan Etika yang Kukuh

44. Hasrat untuk melahirkan modal insan dengan "minda kelas pertama" menuntut kepada pembinaan masyarakat yang mempunyai nilai moral dan etika yang kukuh. Usaha ini akan terus dipertingkatkan melalui pelaksanaan Pelan Integriti Nasional serta penerapan prinsip-prinsip Islam Hadhari.

45. Di samping itu, Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan disusun semula sebagai sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, disamping ditambah kapasitinya bagi meningkatkan keberkesanannya dalam membasmi aktiviti rasuah.

Tuan Yang di-Pertua,

TERAS 3: MENANGANI KETIDAKSAMAAN SOSIOEKONOMI YANG BERTERUSAN


46. Teras ketiga Misi Nasional menegaskan semula falsafah "pertumbuhan dengan pengagihan" bagi menangani ketidaksamaan sosioekonomi yang masih wujud di antara kumpulan etnik, wilayah dan bandar serta luar bandar. Kesan pertumbuhan ekonomi serta langkah Kerajaan memperbaiki ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif telah berjaya mewujudkan suasana pembangunan ke arah "pertumbuhan dengan pengagihan yang saksama" serta mendorong peningkatan dan pengagihan saksama peluang-peluang bermutu (equitable distribution of quality opportunities) untuk semua rakyat Malaysia.

47. Bagi meneruskan agenda kesaksamaan ini, enam strategi utama akan dilaksanakan:

Pertama: Membasmi kemiskinan;

Kedua: Menambah baik pengagihan pendapatan;

Ketiga: Menyusun semula hak milik;

Keempat: Menyusun semula guna tenaga;

Kelima: Mencapai keseimbangan wilayah; dan

Keenam: Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB).

Membasmi Kemiskinan

48. Kemiskinan mutlak di Malaysia terus berkurangan. Insiden kemiskinan keseluruhan di kalangan rakyat Malaysia telah menyusut secara berterusan, daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.6 peratus pada tahun 2007. Jumlah isi rumah miskin juga berkurangan sebanyak 33 peratus daripada 311,300 kepada 209,000 dalam tempoh yang sama. Pengurangan insiden dan bilangan isi rumah miskin ini adalah hasil daripada pertumbuhan ekonomi yang mantap serta pelaksanaan pelbagai program dan projek pembasmian kemiskinan.

49. Pengurangan kemiskinan turut berlaku di kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar. Insiden kemiskinan bandar berkurangan daripada 2.5 peratus pada tahun 2004 kepada 2.0 peratus pada tahun 2007; sementara bagi kawasan luar bandar, insidennya menurun denganketara daripada 11.9 peratus kepada 7.1 peratus.

50. Kejayaan usaha pembasmian kemiskinan jelas terbukti, termasuk di negeri Sabah dan Sarawak. Insiden kemiskinan di Sabah telah berkurangan daripada 23.0 peratus pada tahun 2004 kepada 16.0 peratus pada tahun 2007; manakala di Sarawak, insiden kemiskinan menurun daripada 7.5 peratus pada tahun 2004 kepada 4.2 peratus pada tahun 2007.

51. Lebih membanggakan lagi, kemiskinan tegar kini telah berkurangan daripada 1.2 peratus pada tahun 2004 kepada 0.7 peratus pada tahun 2007. Bilangan isi rumah miskin tegar berkurangan sebanyak 43 peratus, iaitu daripada 67,300 kepada 38,400 dalam tempoh yang sama. Berasaskan prestasi ini, Kerajaan yakin sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan untuk membasmi kemiskinan tegar menjelang tahun 2010 akan dapat dicapai.

52. Dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan, usaha pembasmian kemiskinan akan terus diperkasa. Pembentukan mekanisme pemantauan dan penilaian yang lebih tersusun di pelbagai peringkat pentadbiran meliputi negeri dan daerah akan dilaksanakan. Usaha ini akan diterajui oleh "Focus Group Mengenai Kemiskinan" yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

53. Usaha pembasmian kemiskinan di kawasan luar bandar akan berpaksi kepada penyediaan infrastruktur asas, penjanaan pendapatan dan pembangunan modal insan. Projek Agropolitan yang melibatkan pembangunan tanah bersepadu untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin di kawasan luar bandar akan terus dilaksanakan di Pahang, Terengganu, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

54. Bagi golongan miskin di kawasan bandar, program penjanaan pendapatan dan penyediaan keperluan asas perumahan serta kemudahan sosial lebih baik akan dilaksanakan bagi mengurangkan beban kenaikan kos sara hidup.

55. Antara lain, skim Jaringan Keselamatan Sosial atau Social Safety Net yang telah dilancarkan pada tahun 1990 akan terus diperkukuh dan diperluaskan dengan pelbagai bantuan. Di antara bantuan yang diberikan adalah bantuan kepada kanak-kanak, orang tua, orang kurang upaya, pesakit kronik dan bantuan anggota palsu. Program-program ini merupakan tambahan kepada dasar-dasar sedia ada seperti pelajaran dan perkhidmatan kesihatan yang terdapat secara murah dan percuma.

56. Program pembasmian kemiskinan untuk kumpulan minoriti serta golongan miskin tidak produktif akan dirancang dengan mengambil kira perbezaan keperluan dan tahap pembangunan mereka. Program pembangunan tanah dan usaha mengurangkan kadar keciciran di kalangan Orang Asli akan dimantapkan. Usaha juga akan diambil untuk meningkatkan taraf hidup termasuk penyediaan akses yang lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan kemudahan asas bagi kumpulan minoriti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.

Menambah Baik Pengagihan Pendapatan

Tuan Yang di-Pertua,

57. Pendapatan isi rumah purata di kalangan rakyat Malaysia terus mencatat peningkatan, iaitu daripada RM3,249 pada tahun 2004 kepada RM3,686 pada tahun 2007. Peningkatan ini adalah hasil pertumbuhan ekonomi yang positif, lantas menggalakkan penjanaan peluang pekerjaan bagi meningkatkan pendapatan di kalangan semua rakyat Malaysia.

58. Semua kumpulan etnik mencatatkan peningkatan pendapatan isi rumah dalam tempoh yang sama. Pada tahun 2007, pendapatan isi rumah purata kaum Bumiputera meningkat sebanyak 5.2 peratus setahun kepada RM3,156 sebulan, manakala isi rumah kaum Cina meningkat pada kadar 3.0 peratus setahun kepada RM4,853 dan isi rumah India pada kadar 3.2 peratus kepada RM3,799.

59. Hasil daripada peningkatan pendapatan isi rumah luar bandar yang lebih tinggi, nisbah ketidaksamaan pendapatan purata antara luar bandar dengan bandar telah bertambah baik, iaitu daripada 1:2.11 pada tahun 2004 kepada 1:1.91 pada tahun 2007, melepasi sasaran Rancangan Malaysia Kesembilan, iaitu 1:2.0 menjelang tahun 2010.

60. Ketidaksamaan pendapatan purata antara kaum Bumiputera dengan kaum Cina terus bertambah baik dengan nisbahnya mengecil daripada 1:1.64 pada tahun 2004 kepada 1:1.54 pada tahun 2007. Ketidaksamaan antara kaum Bumiputera dengan kaum India juga bertambah baik dengan nisbahnya menyusut daripada 1:1.27 kepada 1:1.20 dalam tempoh yang sama.

61. Untuk meneruskan usaha merapatkan jurang pendapatan, penekanan akan diberikan kepada pembinaan modal insan melalui peningkatan kemahiran dan penerapan nilai-nilai positif. Khususnya, tumpuan akan diberikan bagi meningkatkan bahagian pendapatan di kalangan isi rumah 40 peratus terendah bagi membentuk kumpulan berpendapatan pertengahan yang lebih besar dan makmur.

Menyusun Semula Hak Milik

62. Pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat telah meningkat daripada 18.9 peratus pada tahun 2004 kepada 19.4 peratus pada tahun 2006. Bagi meneruskan pencapaian ini ke arah merealisasikan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan Bumiputeramenjelang tahun 2020, beberapa langkah akan dilaksanakan:

Pertama: Penekanan yang lebih akan diberi bagi memastikan Bumiputera mempunyai kawalan kepentingan dalam syarikat swasta. Golongan Bumiputera akan digalakkan untuk melabur dalam sektor-sektor pertumbuhan baru seperti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), bioteknologi, fotonik, nanoteknologi, pembuatan termaju dan kejuruteraan kepersisan.

Kedua: Peranan institusi Bumiputera seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Tabung Haji akan diperkasakan.

Ketiga: Graduan Bumiputera yang berbakat dan mempunyai idea kreatif dan inovatif akan diberi modal bagi mengkomersilkan idea mereka.

Keempat: Sebuah pangkalan data akan dibina bagi tujuan memantau prestasi golongan Bumiputera dalam sektor korporat.

63. Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti di kalangan golongan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, usaha-usaha seperti skim unit amanah, pembangunan keusahawanan dan latihan kemahiran akan diberi penekanan lebih serius. Bagi meningkatkan pemilikan aset bukan kewangan di kalangan kumpulan Bumiputera di Sarawak, tanah pribumi dan adat akan terus dibangunkan bagi tujuan komersil.

64. Pemilikan ekuiti sektor korporat juga telah meningkat bagi golongan bukan Bumiputera, daripada 40.6 peratus pada tahun 2004 kepada 43.9 peratus pada tahun 2006. Walaupun peratusan pemilikan etnik India menurun sedikit daripada 1.2 peratus kepada 1.1 peratus, namun dari segi nilai mutlak, tahap pemilikan etnik India telah meningkat sebanyak RM575.2 juta atau 9 peratus dalam tempoh tersebut.

65. Bagi meningkatkan pemilikan ekuiti korporat di kalangan etnik India kepada 1.5 peratus menjelang tahun 2010, usaha akan dijalankan bagi meningkatkan akses kepada program-program latihan kemahiran dan keusahawanan. Di samping itu, bantuan juga akan diberikan kepada golongan kaum India untuk meningkatkan pemilikan ekuiti melalui skim unit amanah.

Menyusun Semula Guna Tenaga

Tuan Yang di-Pertua,

66. Usaha menyusun semula guna tenaga akan diteruskan melalui program-program pendidikan, latihan kemahiran, serta pembangunan keusahawanan. Langkah-langkah akan terus diambil bagi menggalakkan pengambilan lebih ramai daripada golongan Bumiputera, komuniti India dan kumpulan minoriti di peringkat pengurusan dan profesional dalam sektor swasta. Di samping itu, lebih ramai kaum bukan Bumiputera akan digalakkan untuk bekerja dalam sektor awam.

Mencapai Keseimbangan Wilayah

67. Dalam pada itu, pembangunan koridor pertumbuhan diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan mengagihkan peluang-peluang bermutu ke seluruh pelosok tanahair. Kita tidak mahu pembangunan tertumpu di kawasan-kawasan bandar tertentu sahaja. Untuk itu, lima koridor pertumbuhan telah dilancarkan. Tempoh pembangunan akan mengambil masa antara 20 sehingga 30 tahun, tetapi Insya Allah, Kerajaan akan berusaha untuk memastikan bahawa rakyat dapat merasai faedah dari inisiatif ini secepat mungkin.

68. Kerajaan berhasrat untuk menarik minat pihak swasta, tidak kira pelabur tempatan atau asing, untuk melaburkan dana dalam koridor-koridor pertumbuhan. Untuk tujuan ini, pelbagai pakej insentif akan ditawarkan oleh Kerajaan. Di samping itu, setiap pihak berkuasa koridor akan memperkenalkan inisiatif khusus untuk mewujudkan lebih ramai usahawan, termasuk usahawan Bumiputera, dalam koridor-koridor tersebut. Bagi memastikan pelaksanaan projek dan pemantauan berjalan dengan berkesan, saya akan mengarahkan supaya setiap pihak berkuasa koridor melaporkan kemajuan pembangunan di kawasan koridor masing-masing kepada Jemaah Menteri setiap tiga bulan.

Membangunkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB)

69. Pelaksanaan fasa kedua bagi pembangunan MPPB akan terus diberi penekanan melalui pelaksanaan inisiatif pembangunan kluster yang diterajui oleh sektor swasta. Inisiatif ini dijangka akan dapat meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam 11 sektor ekonomi utama seperti pembinaan, logistik dan pengedaran perdagangan. Bagi memacu pembangunan usahawan Bumiputera, pendekatan seperti pembangunan francais, penyertaan strategik dalam rantaian perniagaan dan penyenaraian syarikat Bumiputera di Bursa Malaysia akan terus dipergiat.

Tuan Yang di-Pertua,

TERAS 4: MENINGKATKAN TAHAP DAN KEMAPANAN KUALITI HIDUP

70. Kerajaan senantiasa menekankan bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu disertai dengan peningkatan kualiti hidup untuk seluruh rakyat Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan akan menekankan enam strategi utama:

Pertama: Meningkatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan;

Kedua: Memenuhi keperluan perumahan dan menambah baik perkhidmatan bandar;

Ketiga: Membina infrastruktur asas;

Keempat: Menambah baik kemudahan pengangkutan;

Kelima: Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber secara mapan; dan

Keenam: Menjana pembangunan masyarakat yang positif.

Meningkatkan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan

71. Penyediaan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peningkatan kualiti penjagaan akan terus diberi perhatian. Antara lain, akses kepada penjagaan kesihatan bagi golongan Orang Asli dan kumpulan minoriti di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak akan dipertingkatkan. Klinik bergerak termasuk perkhidmatan doktor udara akan ditambah bagi kawasan terpencil.

72. Satu cabaran utama yang mendepani sektor kesihatan adalah kekurangan pekerja dalam sektor kesihatan awam. Untuk itu, pengambilan pelajar ke institusi pengajian tinggi bagi kursus-kursus kritikal akan dipertingkatkan. Kerajaan juga akan mempertimbangkan pakej faedah (benefits package) yang lebih baik bagi mengekalkan para doktor dan pekerja dalam sektor kesihatan awam.

Memenuhi Keperluan Perumahan dan Menambah Baik Perkhidmatan Bandar

73. Pembangunan perumahan akan menekankan penyediaan rumah yang mencukupi, mampu dibeli atau disewa, dan berkualiti kepada semua rakyat, terutamanya golongan berpendapatan rendah dan menengah. Antara lain, pelaksanaan program perumahan kos rendah akan dipercepatkan dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan dengan pembinaan tambahan 18,500 unit Rumah Rakyat Disewa. Di samping itu, sebanyak 12,300 unit Rumah Mampu Milik akan dibina menjelang tahun 2010.

74. Di kawasan bandar, kualiti pengurusan sisa pepejal akan ditingkatkan melalui pelaksanaan skim kutipan, pengangkutan dan pelupusan sisa pepejal secara lebih cekap dan menjimatkan. Di samping itu, pelbagai inisiatif pengurusan sisa pepejal, termasuk skim pengurangan sisa pepejal dan kitar semula, akan dipertingkatkan pelaksanaannya.

Membina Infrastruktur Asas

75. Kerajaan tetap komited ke arah memastikan agar setiap rakyat Malaysia menikmati infrastruktur asas yang diperlukan bagi kehidupan seharian, khususnya bekalan air dan tenaga elektrik. Penggunaan teknologi moden seperti penjana kuasa solar, turbin angin, dan sistem penuaian hujan akan dipertingkatkan, khususnya bagi kawasan pedalaman.

76. Di kawasan-kawasan populasi tinggi seperti Lembah Klang, mutu sistem bekalan air dan pembetungan akan dipertingkatkan dengan tertubuhnya Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menambah Baik Kemudahan Pengangkutan

77. Peningkatan sistem pengangkutan awam terus menjadi keutamaan Kerajaan, terutamanya berikutan penstrukturan semula subsidi minyak dan gas baru-baru ini. Sehubungan itu, liputan sistem rel transit bandar akan diperluas dan lebih banyak terminal pengangkutan awam bersepadu akan dibina. Di samping itu, kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi akan ditingkatkan bagi mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam, khususnya di kawasan Lembah Klang. Bagi memastikan agar pembangunan sektor pengangkutan di masa hadapan berjalan dengan lebih lancar dan tersusun, Kerajaan akan menubuhkan sebuah Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan merangka sebuah Pelan Induk Pengangkutan.

78. Bagi memenuhi liputan yang masih tidak mencukupi terutamanya di Sabah dan Sarawak, rangkaian jalan raya luar bandar akan diperluaskan lagi. Usaha ini dijangka akan dapat menggalakkan lagi pertumbuhan ekonomi di kawasan-kawasan pedalaman.

Memastikan Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber Secara Mapan

79. Kerajaan senantiasa prihatin terhadap kesan proses pembangunan ke atas alam sekitar. Khususnya, penekanan akan diberikan kepada usaha meningkatkan kualiti udara dan air secara berterusan, di samping mengurangkan pencemaran sumber air dan tanah akibat pembuangan haram sisa pepejal serta bahan toksik dan berbahaya.

80. Di samping itu, fenomena perubahan iklim turut diberi perhatian. Tumpuan akan diberi ke arah meningkatkan penggunaan tenaga yang cekap di samping sumber tenaga yang boleh diperbaharu, serta menambah baik sistem pengangkutan awam. Langkah-langkah pencegahan seperti program tebatan banjir akan turut dilaksanakan supaya impak daripada fenomena perubahan iklim dapat ditangani dengan berkesan.

Menjana Pembangunan Masyarakat Yang Positif

Tuan Yang di-Pertua,

81. Penjanaan pembangunan masyarakat yang positif antara lain merangkumi pembangunan keluarga, belia, sukan, kebudayaan, kesenian dan warisan.

82. Bagi memperkukuh institusi kekeluargaan secara menyeluruh, sebuah Dasar Keluarga Negara akan digubal. Usaha tersebut akan melibatkan pelbagai perkhidmatan sokongan termasuk kaunseling, latihan kemahiran keibubapaan, dan perkhidmatan kesihatan reproduktif.

83. Memandangkan golongan belia merupakan generasi pemimpin masa hadapan negara, mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran yang diperlukan. Program-program pembangunan belia akan bertumpu kepada aspek-aspek sosialisasi, kepimpinan dan pendidikan, di mana penglibatan sektor swasta, NGO dan persatuan-persatuan belia akan diberi penekanan.

84. Dalam usaha pembangunan sukan, penekanan akan diberikan kepada aspek kehidupan aktif dan sihat, di samping mengasah bakat kesukanan ke arah kecemerlangan sukan. Antara lain, persatuan-persatuan sukan akan dipertingkatkan keupayaan bagi memastikan pencapaian yang gemilang dalam arena sukan.

85. Pembangunan bidang kebudayaan, kesenian dan warisan akan bertumpu kepada pembinaan nilai-nilai positif serta pemupukan persefahaman dan apresiasi bagi kepelbagaian budaya. Usaha mengasah bakat kesenian akan terus dipertingkatkan melalui program-program kebudayaan, pameran dan acara yang berkualiti tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

TERAS 5: MENGUKUHKAN KEUPAYAAN INSTITUSI DAN PELAKSANAAN NEGARA

86. Kerajaan beriltizam untuk terus mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Dengan tertubuhnya Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), pelbagai proses dan prosedur kerja serta dasar dan peraturan telah berjaya dinilai dan diperbaiki. Transformasi penyampaian perkhidmatan akan terus dipergiat menerusi tiga strategi utama, iaitu:

Pertama: Mengintegrasi perkhidmatan merentasi agensi;

Kedua: Mewujudkan keyakinan terhadap perkhidmatan berasaskan elektronik; dan

Ketiga: Mengamalkan perancangan, pemantauan dan penilaian berasaskan pencapaian (outcome-based planning, monitoring and evaluation).

Mengintegrasi Perkhidmatan Merentasi Agensi

87. Untuk meningkatkan fokus kepada keperluan pelanggan, perkhidmatan merentasi semua agensi perlu digembleng dan disampaikan secara mesra pengguna. Kemajuan yang menggalakkan telah dicapai dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan dan perniagaan, khususnya melalui inisiatif e-Government. Satu contoh penting bagi inisiatif ini adalah projek e-KL, yang menggabungkan kesemua perkhidmatan awam yang berkaitan dalam kawasan Lembah Klang melalui satu portal Internet.

88. Bagi memperkemaskan pemantauan dan pengurusan aduan, satu sistem aduan yang bersepadu untuk seluruh sektor awam dengan konsep "One Number Call Centre, No Wrong Door" akan dibangunkan, melibatkan semua kementerian dan agensi di semua negeri dan pihak berkuasa tempatan. Di samping itu, satu Sistem Daftar Nasional yang bersepadu akan dibangunkan untuk memudahkan perkongsian data merentasi agensi, dan mengurangkan kesilapan data ataupun pertindihan.

Mewujudkan Keyakinan Terhadap Perkhidmatan Berasaskan Elektronik

89. Penggunaan komputer dan rangkaian maklumat telah meningkatkan daya saing dan menambah baik penyampaian perkhidmatan. Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan penggunaan perkhidmatan berasaskan elektronik. Sebagai usaha meningkatkan tahap keyakinan dan kefahaman mengenai keperluan keselamatan siber, khususnya keselamatan data peribadi, program kesedaran dan pembelajaran akan disediakan kepada para pengguna perkhidmatan elektronik kerajaan. Sehubungan itu, sebuah RangUndang-Undang Perlindungan Data Peribadi kini sedang digubal. Di samping itu, satu garis panduan berkenaan perbankan elektronik akan diperkenalkan bagi mengurangkan risiko dan kelemahan dalam penggunaan perbankan melalui Internet.


Mengamalkan Perancangan, Pemantauan dan Penilaian Berasaskan Pencapaian

90. Pendekatan "perancangan, pemantauan dan penilaian projek berasaskan pencapaian" akan diterima pakai bagi memastikan projek yang dilaksanakan mencapai objektif yang dikehendaki.

91. Fokus akan diberi kepada tiga bidang utama iaitu modal insan, sistem serta struktur organisasi untuk memperkukuhkan kapasiti institusi kementerian dan agensi. Struktur penyampaian projek akan disusun semula dengan mengambil kira elemen perancangan, pemantauan dan penilaian.

PERUNTUKAN PEMBANGUNAN

Tuan Yang di-Pertua,

92. Di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan, siling keseluruhan peruntukan pembangunan bagi Rancangan Malaysia Kesembilan dicadang akan ditambah daripada RM200 bilion kepada RM230 bilion. Tambahan ini adalah bagi menampung kenaikan kos pelaksanaan projek-projek sedia ada berikutan kenaikan harga bahan binaan serta keutamaan-keutamaan baru seperti pembangunan wilayah koridor dan pengeluaran makanan yang mencukupi untuk negara.

93. Di samping itu, program penswastaan dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) akan juga digunakan sebagai pelengkap kepada pelaburan awam bagi menyediakan perkhidmatan awam yang lebih berkualiti. Kerajaan akan mempertingkatkan disiplin fiskal dengan melaksanakan perolehan Kerajaan secara tender untuk memastikan "value for money" di samping mengurangkan ketirisan dan pembaziran, serta menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

94. Projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan adalah dirancang dan dilaksanakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat dan membangunkan ekonomi negara. Suka saya menegaskan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan akan meneruskan pelaksanaan projek pembangunan Rancangan Malaysia Kesembilan di kesemua negeri. Projek mesra rakyat yang bertujuan menyediakan kemudahan asas dan memberikan faedah secara langsung kepada rakyat seperti bekalan air, elektrik, kemudahan kesihatan, pendidikan, perumahan awam kos rendah, membasmi kemiskinan dan keselamatan awam akan diberi keutamaan.

KESIMPULAN

Tuan Yang di-Pertua,

95. Pelbagai usaha telah kita laksana dan gembleng bersama bagi memastikan kedudukan asas ekonomi negara terus kukuh serta berdaya saing. Rancangan pembangunan bagi tempoh 2006-2010 sedang kita laksanakan, manakala langkah-langkah pembaharuan yang diperlukan telah kita kenal pasti untuk dilaksanakan dalam tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan. Alhamdulillah, sehingga kini, hasil pembangunan berteraskan Misi Nasional ini telah berjaya meningkatkan lagi taraf hidup rakyat serta membentuk masyarakat yang lebih terbuka dan berwibawa. Saya percaya kita berada pada landasan yang betul ke arah mencapai Wawasan 2020.

96. Namun, harus diakui bahawa dalam menempuh tempoh akhir Rancangan Malaysia Kesembilan ini, kita berhadapan dengan pelbagai cabaran yang akan menduga keupayaan kita untuk meneruskan agenda pembangunan negara.

97. Cabaran terbesar yang kini menghimpit ekonomi negara tentunya adalah kenaikan harga minyak sedunia. Hakikatnya, kenaikan harga minyak ini merupakan satu fenomena global yang melanda semua negara, dan disebabkan pelbagai faktor.

98. Antara sebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak yang melampau pada waktu ini adalah keadaan geopolitik dunia yang tidak menentu. Serangan ke atas Iraq oleh Amerika Syarikat pada tahun 2003 telah melumpuhkan salah sebuah negara pengeluar minyak utama dunia, dan menimbulkan keadaan kacau bilau di rantau Timur Tengah yang masih belum reda. Serangan ke atas Afghanistan sebelum itu turut membawa impak negatif kepada kestabilan harga minyak di pasaran dunia. Paling mutakhir, ancaman Israel untuk menyerang Iran turut menyumbang kepada ketegangan geopolitik yang membawa kepada kenaikan harga minyak.

99. Permintaan yang tinggi oleh negara tertentu seperti China dan India, di samping keengganan negara-negara OPEC untuk menaikkan tahap pengeluaran minyak secara ketara, juga merupakan antara penyebab utama yang membawa kepada kenaikan harga minyak.

100. Keadaan ini diburukkan lagi oleh kegiatan spekulator pasaran minyak di pusat kewangan antarabangsa seperti New York dan London, yang turut menyuntik ketidaktentuan dalam suasana harga minyak yang semakin meruncing.

101. Di samping kenaikan harga minyak yang melampau, ekonomi negara turut dihimpit oleh keadaan pasaran kewangan sedunia yang masih belum pulih daripada krisis "sub-prima" ("sub-prime crisis"). Malah ramai pakar ekonomi menjangka krisis ini mampu membawa kepada kemelesetan ekonomi sedunia, yang pastinya akan turut mengheret ekonomi negara Malaysia ke dalam suasana gawat.

102. Hakikatnya, negara kini berdepan dengan pelbagai cabaran yang cukup genting, akibat daripada faktor-faktor luaran yang berada di luar kawalan kita. Untuk mengekalkan keupayaan negara bagi mendepani cabaran-cabaran yang telah saya sebut tadi, maka Kerajaan perlu berani membuat keputusan serta cekal melakukan perubahan, demi kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara dalam jangka masa panjang.

103. Ini termasuklah keputusan baru-baru ini untuk menyusun semula subsidi minyak dan gas di dalam negara. Kerajaan amat sedar bahawa langkah tersebut akan meningkatkan beban sara hidup rakyat. Sungguhpun begitu, Kerajaan terpaksa bertindak demikian, memandangkan kenaikan harga minyak di pasaran global menyebabkan keadaan kewangan negara semakin terhimpit. Di samping itu, langkah tersebut dirasakan perlu agar subsidi yang dimaksudkan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar layak dan memerlukannya. Selain itu, langkah tersebut dapat memberi fleksibiliti kepada kewangan negara dalam berhadapan dengan risiko berlakunya kemelesetan ekonomi sedunia dalam waktu terdekat ini.

104. Dalam suasana kenaikan harga minyak dan ketidaktentuan yang disebabkan oleh faktor-faktor luaran, amat sukar bagi sesebuah negara seperti Malaysia untuk melindungi rakyatnya secara sepenuhnya daripada impak negatif yang bersifat global. Sungguhpun begitu, Kerajaan terus komited untuk melaksanakan segala yang termampu bagi meringankan beban rakyat dan memelihara kualiti hidup yang baik.

105. Oleh itu, bagi meneruskan pembangunan yang telah kita capai serta mengharungi cabaran yang bakal kita lalui, marilah kita sama-sama memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi untuk menjayakan Misi Nasional kita. Insya Allah, hasrat kita untuk membina sebuah negara yang selamat, aman dan makmur pastinya akan tercapai dengan adanya usaha yang bersungguh-sungguh serta dengan kerjasama yang erat di kalangan kita semua.

106. Ya Allah, Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana, kami memohon pada Mu supaya Engkau restuilah usaha kami; berikanlah taufik dan hidayah kepada kami; kuatkanlah iltizam kami; perkasakanlah istiqamah kami; agar kami mencapai hasrat dan tujuan kami - kejayaan di dunia ini, serta keredhaan-Mu di alam yang kekal abadi.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

No comments: