Monday, June 30, 2008

Anwar 'disembunyikan untuk keselamatan' - Syed Husin

SHAH ALAM, 29 Jun (Hrkh) - Penantian para wartawan untuk mendengar penjelasan dari Ketua Umum KeADILan berhubung laporan polis yang dibuat Saiful Bukhari Azlan atas dakwan kes liwat akhirnya tidak kesampaian apabila Anwar tidak datang ke Sidang Media di Hotel Quality dekat sini sebentar tadi.

Ini kerana Menurut Timbalan Presiden KeADILan, Dr Syed Husin Ali, parti memutuskan untuk 'menyembunyikan' Anwar Ibrahim di tempat yang selamat kerana nyawanya dalam bahaya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media dekat sini sebentar tadi.Turut hadir ialah, Presiden KeADILan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anaknya; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali, Sivarasa Rasiah dan Mustaffa Kamil Ayub; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Faiz Khairuddin; peguam-peguan Anwar, ahli-ahli Parlimen KeADILan, Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua dan Ketua Pemuda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin.

Di Lobi Hotel, kira-kira 300 penyokong setia Anwar menunggu perkembangan terkini dengan laungan reformasi dan takbir.

Sementara kira-kira 70 orang wartawan dan jurugambar menanti sejak malam tadi untuk mengetahui perkembangan terkini kes Anwar.

Ujar Syed Husin, apa yang berlaku bukan sahaja satu cara untuk membunuh politik Anwar tetapi 'kalau boleh untuk membunuh beliau sendiri'.

Kata Syed Husin, keputusan untuk meletakkan Anwar di tempat selamat dibuat oleh parti dan bukannya keputusan Anwar sendiri.

Anwar dikatakanb masih berada dalam negara dan tidak berlindung di mana-mana kedutaan seperti yang gembar-gemburkan pihak tertentu.

Bagi pihak KeADILan, Dr Syed Husin menegaskan bahawa ahli dan kepimpinan menyokong penuh Anwar malah Anwar sendiri menafikan dakwaan liwat ke atasnya itu.

Syed Husin menyifatkan dakwaan tersebut sebagai 'satu percubaan yang paling jelik dan hina'.

Sementara itu isteri Anwar, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail juga berkata Anwar berada dalam negara dan nyawanya dalam bahaya.

Dr Wan Azizah berkata, suaminya itu tidak percaya kepada pihak polis dan badan kehakiman, justeru antara sebab beliau tidak hadir ialah berhubung soal keselamatannya.

Beliau kesal dengan pihak yang cuba menjatuh dan mengaibkan Anwar sekali lagi dengan cara 'politik setan' seperti yang berlaku pada tahun 1998 dahulu.

Beliau melahirkan kebimbangan dengan pihak kehakiman, polis dan pihak berkuasa yang tidak lagi boleh dipercayai.

Sementara itu Tian Chua mengumumkan bahawa pucuk pimpinan parti akan membuat satu laporan polis berhubung isu tersebut dalam masa terdekat.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan di mana laporan itu akan dibuat selain antara isi kandungan laporan. _

No comments: