Sunday, October 12, 2008

Rupa ketika marah lebih buruk daripada perlakuan haiwan

IMAM Syafie ada menegaskan: "Marah adalah satu di antara panah
syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia agar kamu dapat
menewaskan syaitan dan bala ten teranya."

Apabila marah dituruti, ia akan membakar kebaikan seperti api
membakar kayu dan tiada yang tertinggal kecuali debu. Bagi menghilangkan
perasaan marah ada beberapa panduan yang boleh diikuti, iaitu:


1. Perlu berasa malu dengan Allah atas segala tindakan kita.
Allah memerhatikan segala tindakan dan sikap biadab kita.

2. Apabila datang perasaan hendak marah, ingatlah kita ini hanya
manusia yang hina.

3. Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah supaya Allah
selamatkan kita daripada sifat marah.

4. Hendaklah ingat kesan daripada sifat marah. Ia mungkin
membawa kepada permusuhan dan balas dendam daripada orang yang kita
marahi.

5. Cuba bayangkan betapa buruknya rupa kita ketika marah. Ia
lebih buruk daripada perlakuan seekor haiwan apabila kita dalam keadaan
marah.

6. Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca isti'azah
kerana marah itu datang daripada syaitan.

7. Apabila marah sedang memuncak, ambillah wuduk kerana ia dapat
menenangkan api kemarahan yang sedang membara.

8. Jika marah tidak dapat hilang dengan melakukan perkara
seperti di atas, hendaklah tidur. Ini kerana ia dapat meredakan perasaan
marah apabila bangkit dari tidur nanti.

9. Tauhid kita perlu tepat. Setiap sesuatu itu datang daripada
Allah dan akan kembali kepada Allah. Kenapa kita perlu marah?

10. Apabila kita bersalah, kita tidak suka orang memarahi kita.
Begitu juga dengan orang lain yang melakukan kesilapan, tidak suka
dimarahi, sebalik ditegur secara baik.

11. Satu cara lagi, apabila marah datang, sedangkan kita
berdiri, duduklah.. Apabila duduk, bersandarlah. Insya-Allah marah akan
mula reda.


Jangan Kamu Marah!
Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada
nabi SAW yang maksudnya:" Berwasiatlah kepada ku." Sabda Rasulullah SAW:
"Jangan kamu marah." Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang
kali. Sabda Rasulullah SAW:" Jangan kamu marah.."

(al-Bukhari)
Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya
maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya
api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam
keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan." Sesungguhnya kemarahan
akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah
dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya
bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan
menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula
mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada
kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang
seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain
sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan
melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul,
menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan
mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya
mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain.. Justeru
walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai
seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada
segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

--
Tak guna ada mata kalau tak dapat melihat.Tak guna ada hati
kalau tak tahu menilai..... ..

No comments: